PULAU PINANG 1 Feb. – Kadar inflasi negara bagi tahun ini dijangka berada pada paras 1.6 hingga dua peratus ekoran faktor ketidakstabilan pasaran global.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keadaan ekonomi negara dijangka lebih baik walaupun kadar inflasi pada tahun ini akan berbeza-beza kerana ia bergantung kepada ketidaktentuan global.
“Jika ketidakstabilan pasaran global meningkat, kadar inflasi mungkin meningkat sehingga dua peratus.
“Tetapi jika ketidakstabilan pasaran global dapat diselesaikan, saya fikir ia (kadar inflasi) boleh lebih rendah daripada itu, kita jangka 1.6 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan acara rumah terbuka Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurut Guan Eng kadar inflasi tahun lalu adalah pada kadar satu peratus iaitu yang terendah dalam tempoh sembilan tahun. – UTUSAN ONLINE











