SHAH ALAM – Sekumpulan penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat di sini dikesan mengalami simptom demam dan sakit sendi.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, simptom tersebut dialami kumpulan penduduk berkenaan selepas pulang daripada lawatan ke Hatyai, Thailand sejak akhir Disember tahun lalu.
Katanya, pengesanan mengenai penyakit tersebut diketahui oleh jabatannya pada Rabu lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, dimaklumkan bahawa sebahagian daripada penduduk yang melawat Hatyai itu telah mengalami demam dan sakit sendi sebelum mendapatkan rawatan di klinik swasta.
“Buat masa ini, pesakit berada dalam keadaan stabil dan didapati sembuh setelah beberapa hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Khalid memberitahu, tindakan awal telah dilaksanakan dengan melakukan pengesanan kes secara aktif dan kes yang dikenalpasti kemudian dirujuk ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk rawatan dan ujian pengesahan.
Kata beliau, maklumat mengenai kejadian itu telah disebarkan kepada fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta sekitar pekan Tanjung Sepat untuk lebih memberikan perhatian khusus kepada pesakit yang mempunyai gejala yang sama.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dengan sampel ujian darah telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai gejala sama terutama penduduk di kawasan kampung Tanjung Sepat yang mempunyai sejarah melawat ke Hatyai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan,” jelasnya. – K! ONLINE










