SEREMBAN – Jawatan Ketua Polis Negeri Sembilan kini dipangku oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop.
Beliau mengambil alih tugas itu daripada Datuk Noor Azam Jamaludin yang akan memulakan tugas sebagai Ketua Polis Selangor mulai Isnin depan.
Noor Azam yang dilantik Ketua Polis negeri sejak 13 Julai 2017 menyerahkan tugas itu kepada Mohamad pada satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Noor Azam pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negeri Sembilan itu mengambil kesempatan mengingatkan semua pihak bahawa kerjasama polis dan masyarakat amat penting dalam membasmi jenayah.
Menurut beliau, petunjuk indeks jenayah di Negeri Sembilan sepanjang tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 7.4 peratus berbanding empat peratus pada 2017 disebabkan faktor itu.
“Ia hasil pelbagai program kerjasama polis dan masyarakat antaranya Komuniti Kepolisan seperti OSCAR, Pemantauan Kejiranan, Skim Rondaan Sukarela (SRS) mahu pun Kepolisan Konvensional,” katanya.
Turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) negeri antara isteri Noor Azam, Datin Roshafiza Abd. Halim kepada isteri Mohamad, Datin Norlela Idris.
Noor Azam turut melahirkan penghargaan kepada para pengamal media di negeri ini yang berperanan membantu polis menyebarkan maklumat dan kesedaran memerangi jenayah kepada masyarakat. – K! ONLINE











