LONDON 1 Feb. – Son Heung-Min memberi amaran kepada Liverpool dan Manchester City bahawa Tottenham sedang menghambat mereka dari belakang, malah menggelarkan perebutan
juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai perlumbaan di antara tiga ekor kuda.
Spurs bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Watford 2-1 manakala Liverpool dan City masing-masing keciciran mata.
Pemain kebangsaan Korea Selatan itu membuat penampilan pertamanya bersama Spurs selepas menyertai Piala Asia berkata Tottenham akan terus mengejar pencabar mereka itu.
“Saya tidak kisah apa orang cakap mengenai Liverpool atau City. Kami masih dalam perebutan, kami akan melakukannya.
“Kita tengok apa yang akan berlaku pada penghujung musim ini. Mereka pasukan yang baik, seperti kami, cuma kami perlu fokus kepada diri sendiri. Dapatkan tiga mata untuk
setiap perlawanan, itu lagi penting. Musim masih panjang,” katanya.
Son dan Fernando Llorente masing-masing menjaringkan gol dalam aksi yang berlangsung di Wembley membolehkan Spurs ketinggalan dua mata di belakang City manakala Liverpool,
tujuh.
“Kami tidak mahu terlalu memikirkannya. Banyak perkara boleh berlaku, di luar imaginasi anda. Kami perlu percaya kepada diri sendiri, dapatkan mata sebanyak yang mungkin dan lihat apa yang berlaku pada hujung musim ini,” katanya lagi. – AGENSI











