BERLIN 1 Feb. – Bintang remaja yang pernah membantu Englang menjuarai Piala Dunia Bawah 17 (B-17), Emile Smith-Rove dan pertahanan West Ham, Reece Oxford mengikuti jejak langkah kebanyakan pemain muda England apabila menyertai kelab dari Bundesliga.
Smith-Rove yang pernah membantu England menjuarai Piala Dunia B-17 pada 2017 telah melengkapkan laporan perubatannya untuk menyertai RB Leipzig hingga hujung musim ini, sebelum pasaran perpindahan ditutup semalam pada pukul 5 petang (waktu England).
Pemain tengah itu mempunyai pengalamai beraksi dalam kesebelasan utama bersama Arsenal pada musim ini malah turut beraksi dalam empat perlawanan Liga Europa selain menjaringkan gol ketika menentang kelab Azerbaijan, Qarabag dan Vorskla Poltava dari Ukrain.
Smith-Rowe turut mendapat sokongan daripada Freddie Ljungberg iaitu jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) The Gunners yang menyifatkan pemain berusia 18 tahun itu sebagai seorang yang merendah diri dan menjadi contoh kepada rakan-rakan.
Sementara itu, Oxford menyertai Augsburg hingga Jun ini beraksi bersama Borussia Moenchengladbach pada musim lalu secara pinjaman.
“Dengan kehadiran Reece Oxford kami sudah mendapatkan khidmat pertahanan tengah yang bagus untuk Augsburg.
“Dia sudah pun mengetahui selok-belok Bundesliga ketika bersama Borussia Moenchengladbach dan pastinya dia tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri, diharapkan dia dapat membantu kami dengan segera,” kata pengurus pasukan, Stefan Reuter yang turut menandatangani bekas penjaga gol Arsenal, Jens Lehmann sebagai penolong jurulatih.
Oxford tiba di Jerman bagi mencari minit permainan selepas dia tidak berpeluang melakukannya bersama The Hammers di bawah kendalian Manuel Pellegrini.
Kedua-dua pemain tersebut menjadi pemain muda terbaharu menyertai liga di Jerman dengan harapan untuk mencari minit permainan yang lebih banyak selepas peluang mereka sering disekat di kelab masing-masing di Liga Perdana Inggeris (EPL). – AFP











