BURNLEY 1 Feb. – Walaupun usia Peter Crouch sudah mencecah 38 tahun namun itu tidak menghalang bekas penyerang England itu kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menandatangani kontrak jangka masa pendek bersama Burnley dari Stoke City manakala penyerang Wales, Sam Vokes menyertai The Potters.
Nilai perpindahan kedua-dua pemain tersebut tidak dinyatakan bagaimanapun media tempatan British melaporkan Vokes bernilai sekitar 9 juta pound (RM48 juta).
Crouch beraksi bersama Stoke ketika kelab tersebut disingkirkan daripada EPL menyertai divisyen kedua pada musim lalu tidak diturunkan dalam sebarang perlawanan sejak September.
Bekas penyerang Tottenham, Liverpool itu memiliki perjanjian bersama Burnley hingga hujung musim ini telah beraksi enam kelab EPL malah turut menjaringkan 108 gol sepanjang kariernya.
Dia turut membuat penampilan bersama England sebanyak 42 kali, menjaringkan 22 gol di antara tahun 2005 hingga 2010.
Meskipun sudah berusia namun Crouch berkata dia masih menyimpan hasrat untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.
“Saya masih mahu mencari kejayaan. Saya mahu beraksi lebih banyak perlawanan dan saya berharap dapat menambah 100 gol lagi dalam EPL.
“Permainan sayan mungkin berubah sebab saya bukan lagi 25 tahun namun bakat saya tidak boleh dinafikan. Saya tahu saya masih boleh memberi impak meskipun pada usia seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Vokes melambai-lambai tangannya kepada penyokong Burnley selepas seri 2-2 menentang Manchester United di Old Trafford, Selasa lalu telah menandatangani kontrak selama tiga tahun setengah bersama Stoke selepas dilihat sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Turf Moor.
Dia membantu Burnley dinaikkan pangkat menyertai EPL sepanjang tujuh musim bersama kelab tersebut, menjaringkan 62 gol dalam 258 penampilan.
“Akhirnya tugas saya sampai di sini. Hari yang cukup panjang namun saya gembira – saya tidak sabar untuk bermula sekarang,” katanya. – REUTERS











