SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 31 dan 40 tahun kerana disyaki melarikan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari ibunya di Rasah Jaya pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, suspek diberkas sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan petang semalam selepas menerima laporan ibu mangsa.
“Polis terima panggilan seorang perempuan berumur 36 tahun pada pukul 11.45 pagi menyatakan anak lelakinya dilarikan oleh seorang lelaki baru dikenalinya dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
“Kira-kira pukul 2.20 petang, sepasukan polis dari IPK Negeri Sembilan berjaya mengesan dan menahan kereta dinaiki suspek di kawasan Bukit Mantin, Nilai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hock Poh, suspek seorang lelaki dan seorang perempuan berjaya ditangkap dan anak mangsa juga berjaya diselamatkan oleh pihak polis selepas kenderaan itu berjaya dikesan.
Kata beliau, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek lelaki yang ditangkap adalah positif dadah.
Menurut beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan tahanan dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Polis masih menyiasat motif kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE










