Polis tahan lelaki terlibat kes tetak - Utusan Malaysia

Polis tahan lelaki terlibat kes tetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Seorang lelaki yang bertindak menetak dua kenalannya dengan menggunakan parang sehingga cedera parah dalam kejadian di hadapan deretan kedai di Taman Seri Sentosa, Lunas di sini Selasa lalu berjaya ditahan hari ini.

Suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan polis di Jalan Taman Kangkong, Lunas kira-kira pukul 7.15 malam ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek disyaki terlibat dalam kejadian tetak dua lelaki yang berlaku kira-kira pukul 12.05 tengah malam Selasa lalu.

“Suspek dikatakan memukul kepala seorang lelaki berusia 49 tahun dengan menggunakan botol minuman keras sehingga pecah sambil bertanya kepadanya kenapa berdiri di hadapan kedai tersebut sebelum menetak mangsa pada lengan kiri.

“Seorang lagi lelaki berusia 39 tahun yang menyaksikan kejadian cuba menghalang perbuatan suspek namun dia turut ditetak pada leher dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kedua-dua mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa boleh mengecam suspek kerana ketika kejadian dia hanya memakai topi keledar tanpa penutup selain cahaya lampu di tempat kejadian agak terang,” ujarnya.

Tambahnya, suspek dan kedua-dua mangsa dipercayai mengenali antara satu sama lain dan motif kejadian sebenar masih dalam siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, suspek didapati memiliki beberapa rekod lampau antaranya di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan dua kes berkaitan dadah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×