Terengganu mahu langkah kanan - Utusan Malaysia

Terengganu mahu langkah kanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Kipre Tchetche kekal sebagai kapten Terengganu pada saingan Liga Malaysia 2019 yang bermula esok, dan Irfan Bakti Abu Salim bersedia menurunkan barisan terbaik dengan misi mencari kemenangan apabila menerima kunjungan PKNS FC di Kuala Terengganu esok.

Menurut Irfan, hanya penjaga gol, Suffian Abdul Rahman mengalami kecederaan ringan manakala pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dalam proses pemulihan, namun semua pemain lain bersedia untuk diturunkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Kipre antara pemain senior yang berdedikasi dan berpengalaman, jadi dia kekal sebagai ketua pasukan kerana mampu memberi arahan kepada rakan-rakan dengan baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lee Tuck pula akan menjadi penolong jurulatih dan memastikan semua perancangan serta strategi pasukan dapat diterjemahkan dengan baik oleh setiap pemain,” katanya.

Irfan juga mengingatkan anak-anak buahnya agar bermain dengan tenang esok, meskipun sedar skuad Penyu tidak mempunyai rekod baik menentang PKNS.

Terengganu seri di tempat sendiri dan kalah di laman lawan dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, musim lalu.

Mengenai posisi penjaga gol, Ilham Amirullah Razali menjadi calon utama untuk menjaga gawang Terengganu kerana kualiti yang dimiliki pemain berusia 24 tahun itu.

Sementara itu, bagi Tchetche, misi pertama Terengganu adalah mencari kemenangan pertama esok selepas melakukan persiapan rapi sejak dua bulan lalu.

“Sasaran utama kami musim ini adalah menjulang sekurang-kurangnya satu trofi dan layak ke Liga Juara-Juara Asia musim depan, jadi penting untuk pasukan bermula dengan langkah kanan.

“Meskipun kehilangan beberapa termasuk Faiz Nasir, kemasukan 11 muka baharu yang berkualiti musim ini mampu mengganti kekosongan yang ditinggalkan tiga pemain itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini