‘Kami tidak pilih kroni’ - Utusan Malaysia

‘Kami tidak pilih kroni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Faktor keupayaan menanggung kos perlumbaan yang tinggi, selain tajaan besar yang dikemukakan Human Voyage adalah sebab utama syarikat itu dipilih sebagai kontrak edisi ke-24 Le Tour de Langkawi (LTdL 2019).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak dakwaan Human ­Voyage dipilih kerana mempu­nyai hubungan baik dengan kerajaan.

Katanya, pemilihan syarikat itu dibuat menerusi proses tender terbuka berlandaskan perincian baharu yang ditetapkan kerajaan termasuk faktor kos, penajaan serta kedudukan kewangan.

SYED SADIQ SYED ABDUL RAHMAN
SYED SADIQ SYED ABDUL RAHMAN 

Tawaran Human Voyage dikatakan jauh lebih kompetitif berbanding kontraktor lain.

“Proses tender terbuka ini adalah telus, macam mana boleh dikatakan kroni?

“Proses ini melibatkan banyak kementerian untuk memastikan pemilihan dijalankan dengan cara paling telus.

“Jadi mereka dipilih kerana kemampuan untuk melaksanakan perlumbaan ini dan dalam proses tender terbuka seperti ini, yang terbaik akan dipilih,” katanya selepas Program Jom Jumpa Kami #TeamKBS di Casa 1, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini hari ini.

Sebelum ini, kemampuan Human Voyage sebagai penganjur dipertikai selepas didakwa gagal memenuhi kontrak selama dua tahun dengan KBS kerana mereka sepatutnya mengendalikan kejohanan itu pada 2015 dan 2016, tetapi hanya mampu menganjurkan untuk tempoh setahun, manakala pada 2016, mereka menarik diri atas alasan tidak mendapat bajet yang cukup.

Selain itu, pembayaran lewat wang hadiah kemenangan kepada sebuah pasukan ternama turut didakwa menjadi isu ketika itu, selain seorang mekanik pa­sukan luar yang terbabit dalam kemalangan dikatakan tidak diberi layanan sewajarnya.

Bagaimanapun, kali ini Human Voyage mengatasi empat lagi kontraktor lain termasuk pengendali 2016, 2017 dan 2018 iaitu Ciclista Sport Sdn. Bhd. dan Motoshoot Media Sdn. Bhd. dalam satu persaingan yang dianggap sengit untuk merebut tender yang bukan sahaja diberi hak pengendalian bagi tahun ini tetapi sehingga 2021.

LTdL 2019 akan berlangsung dari 24 hingga 31 Mac.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, ketua pegawai eksekutif baharu Institut Sukan Negara (ISN) akan dilantik tidak lama lagi dan pihak kementerian sedang dalam proses terakhir untuk memuktamadkan perkara itu.

“Individu ini adalah orang baharu, anak muda yang berkelulusan tinggi selain memiliki pengalaman luas dalam bidang sukan.

“Paling penting ini bukan lantikan politik dan ia sejajar dengan polisi yang ditetapkan pihak kementerian, berikan saya sedikit sahaja masa sebelum mengumumkan perkara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×