SHAH ALAM 31 Jan. – Mahkamah Koroner hari ini menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman dan 50 penganut Hindu untuk menjadi salah satu pihak berkepentingan dalam inkues menentukan status kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terbunuh dalam rusuhan di kuil tersebut tahun lalu.
Dengan keputusan yang dibuat Hakim Rofiah Mohamad yang bertindak sebagai Koroner itu, kedua-dua pihak terbabit hanya boleh mengikuti prosiding yang akan bermula 11 Februari ini sebagai orang awam dan tidak berpeluang untuk menyoal saksi yang akan dipanggil pada prosiding terbabit.
Ketika memutuskan sedemikian, Mahkamah telah mempertimbangkan permohonan mengikut Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah dan mendapati kedua-dua pihak tersebut tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substansif dan munasabah.
Jelasnya, selaku Koroner, beliau tidak boleh keluar daripada sempadan yang digariskan iaitu Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah iaitu untuk mengetahui bila Muhammad Adib meninggal dunia, di mana beliau meninggal dunia, bagaimana beliau meninggal dunia dan dalam apa cara beliau meninggal dunia.
“Malah, berdasarkan terma dan identiti peranan jawatankuasa kuil yang ditubuhkan selepas berlaku kes tersebut agak tersasar dari terma rujukan inkues. Begitu juga dengan sebahagian penganut Hindu yang tidak diketahui identitinya. Mereka tidak menunjukkan kepentingan untuk turut serta dalam inkues. Setelah membuat pertimbangan, mahkamah menolak permohonan kedua-dua pihak,” katanya.
Pada prosiding hari ini, jawatankuasa kuil diwakili peguam M. Visvanathan dan R. Karnan manakala Siti Zabedah Kassim pula mewakili 50 penganut Hindu di kuil tersebut. Rofiah bagaimanapun membenarkan Majlis Peguam yang diwakili Roger Chan Weng Keng dan Cyrus Tiu Foo Woei menjadi peguam pemerhati inkues berkenaan.
Mahkamah turut berpesan kepada semua pihak terlibat agar tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah mendahului prosiding mahkamah.
“Elakkan keluarkan kenyataan seperti yakin (Muhamad) Adib mati dalam keadaan tertentu. Ia seolah-olah pihak terbabit mendahului mahkamah sedangkan prosiding inkues belum bermula. Kita (pihak-pihak berkepentingan) menyertai inkuiri ini sebab mahu tahu apa yang terjadi (kematian Muhammad Adib),” katanya.
Sementara itu, prosiding inkues itu akan melibatkan saksi-saksi profesional terdiri daripada enam doktor serta pegawai penyiasat yang bakal memberi kenyataan melalui keterangan lisan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi semalam dan bukannya penyataan bertulis seperti yang ditetapkan baru-baru ini.
Pada 18 Januari lalu, Rofiah menetapkan inkues akan berlangsung selama 44 hari melibatkan tiga fasa prosiding dengan fasa pertama bermula pada 11 hingga 28 Februari, fasa kedua pada 1,4,5 dan 19 hingga 29 Mac manakala fasa ketiga pada 1 hingga 12 April.
Rofiah juga membenarkan rakaman video yang tular di laman sosial berkaitan insiden tersebut ditayangkan seperti dimohon pegawai pengendali, namun peralatan seperti projektor perlu dibawa sendiri selain membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai pemerhati sepanjang prosiding inkues.










