SAUDARA PENGARANG,
PADA 27 Januari lalu, saya menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Celcom untuk memohon kemudahan Promise To Pay berikutan talian saya disekat kerana mempunyai tunggakan bil. Malangnya permohonan tersebut tidak diluluskan walaupun pernah berbuat demikian beberapa kali sebelum ini. Saya terus hubungi pegawai perkhidmatan pelanggan menerusi talian bebas tol. Saya dimaklumkan yang permohonan saya ditolak berikutan saya gagal membuat bayaran balik Promise To Pay dalam tempoh ditetapkan sebelum ini.
Ya, kalau ‘ikut buku’ memang saya gagal mematuhi syarat tersebut tetapi apa salahnya Celcom bertimbang rasa dan bertolak ansur dalam kes-kes tertentu?
Keadaan ketika itu amat menyulitkan. Saya perlu membuat panggilan segera tetapi gagal disebabkan kerenah birokrasi. Celcom sepatutnya lebih bertimbang rasa kerana mungkin ada pelanggannya yang benar-benar dalam kecemasan seperti saya.
Saya sudah menjadi pelanggan Celcom sejak 2008. Adakah kerana saya gagal buat pertama kali dengan syarat tersebut maka saya terus dihukum? Jika benar, memang Celcom tiada hati perut!
PELANGGAN CELCOM
Ampang, Selangor











