Kapal karam, 12 kru warga asing terselamat - Utusan Malaysia

Kapal karam, 12 kru warga asing terselamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 31 Jan. – Seramai 12 kru warganegara asing nyaris maut apabila kapal dinaiki karam dalam satu kejadian kira-kira 2 batu nautika di Timur Tanjung Penyusop, dekat sini malam tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Mari­tim Malaysia negeri, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, kejadian itu berlaku ketika 12 kru itu sedang melakukan ujian jentera pada kapal dagang MT Sea Frontier .

“Semasa melakukan ujian jen­tera pada kapal yang berdaf­tar di St. Kitts And Nevis itu, kapal berkenaan tiba-tiba karam. Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru kemudian menerima panggilan melalui ejen kapal pada pukul 9.15 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bertindak atas maklumat tersebut, MRSC Johor Bahru mengaktifkan Operasi Carilamat dan menghantar bantuan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, semua kru warga Myanmar dan Indonesia berusia antara 26 hingga 58 tahun berjaya diselamatkan kapal lain iaitu MT Formula One yang berada di lokasi kejadian. Vesel maritim dari Tanjung Sedili itu kemudian membawa 12 mangsa tersebut ke darat untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan senarai kru kapal tersebut katanya, ujian jentera hanya melibatkan 11 kru sahaja manakala seorang lagi adalah penumpang teknikal yang memantau ujian jentera kapal tersebut.

“Kerjasama bersama-sama Jabatan Laut Malaysia akan di­teruskan bagi menandai lokasi kapal ini karam dan mengawal pencemaran sekiranya terdapat tumpahan minyak,” katanya.

Pada ketika ini ujarnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan keterangan mangsa akan diambil setelah mereka semua ber­ada dalam keadaan stabil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini