SANG ayah sungguh payah mengeluarkan kata-kata, si anak pula belum ditanya sudah seperenggan dia menjawab.
Namun, atas kuasa muzik dan seni mereka berdua boleh duduk semeja dan berbincang bersama.
Itu istimewanya nostalgia Datuk Jamal Abdillah dan anaknya, Osama Yamani walaupun kedua-duanya mempunyai karakter yang berbeza, namun jiwa muzik mereka tetap sama.

Kerap kali berkongsi cerita tentang kerja kerasnya dalam menjaga jenama ‘Jamal Abdilah’ di mata peminat, jelas pemilik lagu Seniman Menangis ini, dia mahu anaknya tahu betapa susah untuk beliau berdiri teguh dalam industri selama ini.
“Saya lihat Osama seorang yang senang untuk menyesuaikan diri dengan semua orang.
Walaupun tidak banyak berkongsi tip tentang kehidupan sebagai artis, tapi saya sering perhatikan gerak-geri Osama dari jauh.
“Saya nampak dalam diri dia ada diri saya sewaktu dahulu. Pergerakannya sekarang masih dalam landasan, jadi saya tidak terlalu khuatir bila dia kata nak jadi artis.
“Biar dia susah dahulu, biar dia cari sendiri bagaimana cara untuk rungkaikan segala masalah.
Kalau terlalu kerap dibantu, ia akan jadi mudah dan dia tidak akan belajar apa-apa,” luah Jamal.
Melihat perkembangan kerjaya Osama yang semakin baik, Jamal bagaimanapun tidak mahu anaknya itu leka dihanyut gelombang populariti.
Atas sebab itu, beliau menggesa Osama bekerja di sebuah kedai makan sebagai pelayan dan pembasuh pinggan untuk memperkuatkan jati diri dan menjadi orang yang lebih kuat dari segi mental dan fizikal.
“Sekarang dia baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sewaktu bersekolah di Sekolah Seni di Johor, dia banyak belajar tentang cara berhadapan dengan khalayak.
“Walaupun dia sudah ada band muzik sendiri, saya paksa dia bekerja di sebuah restoran. Biar dia belajar menjadi orang yang merendah diri, berdisiplin dan menghormati masa,” katanya.











