KUALA LUMPUR 31 Jan. – Kawasan Bangsar South, di sini secara rasminya ditukar semula kepada nama asalnya Kampung Kerinchi untuk mengembalikan sejarah dan identiti asal sebagai salah satu penerokaan awal di sana.
Bagi sesetengah masyarakat, pengisyiharan semula nama itu mungkin dianggap tidak pen-ting kerana ia sekadar menukar nama sebaliknya tidak dapat mengembalikan ‘wajah asal’ perkampungan warisan berusia hampir 150 tahun itu.
Namun, bagi penduduk asal kampung tersebut, ia memberi makna yang cukup besar dan dianggap sebagai satu pencapaian penting yang ditunggu-tunggu selama ini setelah lapan tahun ditenggelamkan dengan nama Bangsar South.

Majlis pemasyhuran semula nama Kampung Kerinchi berlangsung baru-baru ini dan ia disempurnakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu baru-baru ini mendapati, penduduk kampung menyambut baik dan meluahkan rasa gembira apabila kawasan itu dinamakan semula kepada Kampung Kerinchi.
Rata-rata menyifatkan usaha sedemikian tepat pada masanya untuk mengelak kekeliruan kepada orang awam selain mengesahkan bahawa kawasan itu sebenarnya masih wujud sehingga kini.
Menurut penduduk, pengembalian semula nama lokasi kepada Kampung Kerinchi tersebut antara lain bertujuan memelihara asal-usul serta warisan sejarah yang sepatutnya dipertahankan dan dibanggakan oleh semua pihak.
Selain itu kata mereka, ia juga amat penting dalam mengembalikan sensitiviti serta pemilikan ikonik penduduk seiring dengan sejarah asal pembukaan kawasan yang bermula pada awal abad ke-18.
Berdasarkan pemerhatian mendapati, wajah asal Kampung Kerinchi yang dahulunya dikelilingi oleh hutan dan ladang getah selain menjadi penempatan rumah-rumah kampung dan setinggan kini berubah.
Kawasan itu melalui transformasi pembangunan drastik yang menyaksikan pembangunan hartanah berintegrasi di pinggiran kawasan ibu kota itu.
Kedudukannya strategik bersempadan dengan Petaling Jaya dan menghubungkan beberapa lokasi penting di ibu kota menjadi pilihan pemaju untuk membangunkan kawasan itu.
Ini bermula dengan projek pembangunan hartanah terbesar dengan sentuhan moden dan kontemporari yang menempatkan unit komersial seperti hotel dan kondominium bertingkat seluas 24 hektar sehingga dinamakan sebagai Bangsar South.
Ini diteruskan dengan pembangunan semula di atas tapak flat empat tingkat Kampung Kerinchi seluas 2.8 hektar pada 2010 dan dinamakan KL Gateway serta Residensi Kerinchi.
Walaupun diberi rupa baharu dalam bentuk pembangunan pesat termasuk kemudahan jalan raya dan laluan pejalan kaki berimej moden, ia tidak pernah menghakis semangat Kampung Ke-rinchi terutama dalam kalangan generasi muda.









