Hutan paya bakau dicemari sisa industri - Utusan Malaysia

Hutan paya bakau dicemari sisa industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 31 Jan. – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa siasatan dilakukan segera bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuang sisa industri berhampiran kawasan paya bakau di Batu Maung di sini.

Pegawai penyelidiknya, S. Mageswari berkata, pihaknya terkejut selepas mendapati kawasan itu dipenuhi sisa industri seperti konkrit, bahagian enjin kereta, sisa elektrik dan elektronik, tali nilon dan sisa plastik.

Katanya, sisa buangan itu menyebabkan satu-satunya kawasan hutan paya bakau yang masih kekal di Batu Maung kini tercemar dengan larut resapan daripada sisa industri yang serius.

“Kita difahamkan kawasan ini sudah lama dijadikan tapak pembuangan sampah secara haram dan sudah beberapa kali dibangkitkan orang awam.

“Sehubungan itu, kita berasa hairan bagaimana pihak berwajib boleh terlepas pandang dan tidak mengambil sebarang tindakan bagi menyelamatkan kawasan hutan paya bakau ini,” katanya selepas meninjau lokasi tapak pembuangan sampah itu di sini semalam.

Mageswari berkata, pihaknya turut dimaklumkan sisa industri itu sebelum ini pernah dibakar sehingga terpaksa dipadamkan pasukan bomba sukarelawan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kerana asap tebalnya berisiko menjejaskan operasi pesawat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berwajib sama ada agensi kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mengambil langkah segera membersihkan tapak sampah haram tersebut sekali gus menyelamatkan kawasan hutan paya bakau ber­kenaan.

“Jika kerajaan negeri benar-benar serius dengan hasrat menjadikan Pulau Pinang negeri bersih dan hijau, pusat sampah haram yang merosakkan alam sekitar seperti ini tidak sepatutnya wujud dan perlu diatasi segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×