Usah pinggirkan al-Quran - Utusan Malaysia

Usah pinggirkan al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT buah yang manis dimakan, tetapi tiada harumnya. Begitulah perumpamaan bagi menggambarkan umat Islam yang beramal ibadah tetapi tidak suka membaca al-Quran.

Walaupun mampu bersengkang mata berjam-jam lamanya membaca pelbagai bahan bacaan seperti novel dan majalah termasuk secara maya, namun malangnya ‘kegilaan’ itu dilihat jauh berbeza apabila menghadap mukjizat terbesar umat Islam iaitu al-Quran.

Realitinya, bukan hingga satu atau dua jam, malah satu muka surat al-Quran dirasakan terlalu berat dan lama untuk dibaca. Malah, ada yang menganggap seolah-olah amalan membaca dan

RAHMAT IKHSAN MOHD. SOFYAN
RAHMAT IKHSAN MOHD. SOFYAN 

memahami kandungan kitab Allah bukan suatu keutamaan dalam urusan ibadah seharian.

“Sikap seperti ini umpama buah kurma yang tidak ada bau tetapi bila dimakan ada rasa manisnya sedangkan kita boleh menikmati kedua-duanya iaitu dengan mendekati al-Quran.

“Ini kerana, mukmin yang istiqamah dalam membaca al-Quran akan diangkat darjatnya oleh Allah,” tegas pendakwah Pencetus Ummah, Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan (PU Rahmat).

PU Rahmat menambah, kealpaan sedemikian akan turut menyebabkan seseorang mukmin itu terlepas peluang untuk menambah bekalan pahalanya ketika hidup atas muka bumi.

Ini kerana beliau berkata, banyak hadis Rasulullah yang menyebut al-Quran sebagai ladang pahala kepada sesiapa membaca dan memahami kandungan kitab Allah itu.

“Adalah suatu kerugian besar jika kita tidak merebut peluang sedemikian untuk menambah bekalan pahala sebelum meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Masjid Usamah Bin Zaid, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam masa sama, PU Rahmat mengingatkan umat Islam agar tidak beranggapan bahawa kealpaan membaca al-Quran sebagai satu dosa kecil kerana ia berpotensi mewujudkan perasaan tidak bersalah di kemudian hari.

Beliau berpandangan bahawa kewujudan perasaan tidak bersalah itu besar kemungkinan akan memudahkan kita menjadikan agama sebagai bahan humor yang melampaui batas sama ada secara sengaja atau tidak.

Katanya, ramai ulama menyifatkan unsur humor sebagai satu senjata yang berupaya menjentik hati pendengar atau membuatkan kita berfikir seketika.

“Tetapi, jangan sampai kita meremehkan agama atau buat agama nampak macam hina, sebaliknya, unsur itu perlu ada pengisian yang mampu membawa kita lebih dekat kepada Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×