MB tegur penjawat awam sarapan sehingga ke Kuala Pilah - Utusan Malaysia

MB tegur penjawat awam sarapan sehingga ke Kuala Pilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 31 Jan. – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini menegur sikap segelintir penjawat awam di negeri ini yang membuang masa dengan bersarapan jauh dari pejabat mereka.

Katanya, ada antara mereka yang sanggup minum di sebuah kedai di Kuala Pilah walaupun bekerja di Seremban.

“Ada yang minum sampai di Kuala Pilah, pagi-pagi lagi sudah sampai di sana. Bukan saya tak tahu tapi perbetulkanlah budaya itu. Begitu juga (kedai) di depan Pejabat Pendidikan di sini ada yang duduk sampai setengah hari.

“Ubahlah budaya itu, sebagai penjawat awam kita telah berjanji dan angkat sumpah untuk menjalankan tanggungjawab tetapi masih ada budaya negatif ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Persidangan Pegawai Pengawal 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sebagai sebuah kerajaan yang baru berusia lapan bulan, sistem penyampaian kerajaan negeri sentiasa diperhatikan oleh rakyat selain dibandingkan dengan kerajaan terdahulu.

Katanya, kelewatan pegawai dan agensi kerajaan menyalurkan peruntukan serta bayaran bagi projek yang dirancang untuk manfaat rakyat akan menjejaskan imej kerajaan negeri.

“Jika kita masih mengekalkan cara lama dengan menunggu arahan lanjut bagi melaksanakan tugasan yang sememangnya termaktub dalam tugasan hakiki kita, sesungguhnya kita adalah insan yang lemah dan tidak pernah berubah.

“Sikap ini tidak lagi boleh diterima kerana perkara sedemikian akan menyebabkan perkhidmatan kepada rakyat tergendala dan menjejaskan mutu perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Aminuddin memberitahu, beliau bersikap terbuka dan sedia menerima sebarang teguran termasuk kritikan negatif terhadap pentadbirannya.

“Saya baca di Facebook, WhatsApp, saya berhadapan dengan semua orang, ada yang marah saya, kata lembap. Macam-macam.

“Saya tidak pernah marah, itu perkara biasa bagi seorang pemimpin. Saya ambil semua teguran dan jadikannya kekuatan untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×