Zam Komando aktif menyamun dicekup - Utusan Malaysia

Zam Komando aktif menyamun dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Kegiatan jahat seorang bekas anggota komando tentera dikenali dengan nama Zam Komando melakukan samun di beberapa daerah di negeri ini tumpas apabila dia akhirnya berjaya ditahan polis dalam Op Cantas Khas Jumaat lalu.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah motel di sekitar Sungai Petani kira-kira pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek disyaki terlibat dalam kes samun peniaga nasi lemak, penunggang motosikal serta mengisi petrol sehingga penuh tanpa membuat pembayaran sejak awal tahun ini.

“Suspek yang menaiki kereta jenis Proton Persona warna merah pada 4 Januari lalu mengisi petrol sehingga penuh sebanyak RM105.02 di sebuah stesen minyak di Lagenda Height di sini sebelum melarikan diri tanpa membuat pembayaran.

“Dalam kes kedua pada Jumaat lalu suspek menyamun peti duit mengandungi wang tunai kira-kira RM450 dan sebuah telefon bimbit milik peniaga nasi lemak di sebuah gerai di Taman Seraya di sini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda, Deputi Superintendan Mohd. Azlan Abdul Kadir.

Kata beliau, bekas komando itu juga bertindak ganas dengan melanggar belakang motosikal ditunggang seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sehingga menyebabkannya hampir terjatuh sebelum menyamunnya di Jalan Pengkalan Sungai Petani di sini, juga pada Jumaat lalu.

“Suspek bertindak menarik mangsa masuk ke dalam keretanya sebelum menumbuk dan mengacukan pisau dan mengugut supaya diberikan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah bank dan memaksanya mengeluarkan sejumlah wang. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000 selepas barangan miliknya seperti wang tunai RM70, telefon bimbit, cincin perak dan jam tangan jenama Rado dilarikan suspek,” jelasnya. 

Menurut Adzli, pihaknya dalam tangkapan itu turut merampas beberapa barangan antaranya cincin perak, jam tangan Rado, dua dompet dan sebilah pisau daripada suspek.

“Suspek yang positif dadah jenis syabu itu mengaku terlibat dalam beberapa kes samun dengan modus operandi sama termasuk di daerah Sik dan Baling. Dia mendakwa terdesak melakukan jenayah tersebut untuk membeli dadah,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×