IPOH – Kementerian Kesihatan menyarankan Dasar Sifar Anjing Liar (Zero Stray Dog Policy) dilaksanakan bagi menangani anjing liar di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan wabak rabies.
Timbalan Menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, dasar berkenaan tidak bermaksud kementeriannya menggalakkan langkah memusnahkan anjing liar dengan cara membunuh, sebaliknya pelaksanaan dasar tersebut adalah mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kita kena pastikan pemilik menjaga anjing mereka dan tidak membiarkannya berkeliaran dan jika tiada pemilik perlu pastikan ada NGO yang mahu menjaganya. Sekiranya tidak ada dua-dua ini, baru dipertimbangkan untuk dihapuskan anjing tersebut.
“Tanggungjawab Kementerian Kesihatan adalah menjaga daripada segi rawatan dan penjagaan sebaran penyakit rabies, dari segi kawalan anjing itu sebenarnya adalah di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Boon Chye, wabak rabies adalah satu penyakit serius yang mana kadar kematiannya hampir 100 peratus. – Bernama











