KUALA LUMPUR 31 Jan. – Universiti Mahsa menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund dalam usaha memberi pendedahan karier bola sepak profesional kepada pelajar sekali gus melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia untuk negara.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mahsa, Prof. Tan Sri Dr. Mohamed Haniffa Abdullah berkata, kerjasama selama setahun itu membolehkan pelajar Universiti Mahsa mendapat pelbagai manfaat daripada kelab bola sepak tersebut.
“Paling menarik adalah pelajar Universiti Mahsa yang berminat akan dilatih oleh jurulatih belia Borussia Dortmund dan ini adalah langkah pertama kita untuk menghasilkan pemain bola sepak profesional.
“Selain itu, kita juga akan mempelajari aspek pengurusan kelab bola sepak berkenaan yang diketahui umum antara yang terbaik di dunia,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis tandatangan MoU tersebut di Universiti Mahsa, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Pemasaran Borussia Dortmund, Carsten Cramer. – UTUSAN ONLINE










