PATI lari lintang pukang lari lihat anggota Imigresen - Utusan Malaysia

PATI lari lintang pukang lari lihat anggota Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Cubaan dua lelaki warga Indonesia untuk meloloskan diri melalui laluan najis di sebuah penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Kerinchi di sini gagal setelah mereka akhirnya berjaya dikepung oleh anggota Imigresen awal pagi tadi.

Dalam serbuan sekitar pukul 3 pagi itu, kesemua PATI yang menyedari kehadiran anggota Imigresen lari lintang pukang dan cuba menyorok di bahagian bumbung serta di bawah lantai rumah untuk mengelak daripada dikesan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, hasil serbuan tersebut, pihaknya telah berjaya menahan seramai 65 warga Indonesia dan lima warga Bangladesh.

“Kawasan penempatan haram ini berselindung di sebalik dua lokasi pembinaan dan kita juga sedang mengesan pemilik tanah yang menyewakan tanah tersebut kepada PATI,” katanya di sini hari ini.

Tinjauan Kosmo! ke penempatan haram tersebut mendapati ia dibina di antara dua tapak pembinaan yang sedang berjalan dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa memandangkan semakan yang dilakukan mendapati tiada seorang pun di antara mereka yang bekerja di tapak pembinaan itu.

Difahamkan, lokasi serbuan tersebut telah dijadikan penempatan haram PATI sejak setahun yang lalu dan dihuni oleh majoriti warga Indonesia yang bekerja di sekitar ibu negara dalam pelbagai sektor.

Majoriti PATI yang ditemubual pula mengakui menyewa tapak berkenaan daripada tiga individu warga tempatan dengan bayaran di antara RM150 hingga RM250 sebulan.

Terdahulu, satu lagi operasi serupa turut dilakukan di sebuah pangsapuri empat tingkat di Taman Damai Indah, di sini.

Menurut Hamidi, dalam operasi yang dilakukan sekitar pukul 1.15 pagi itu, sebanyak 63 individu warga asing telah diperiksa.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 29 warga Indonesia ditahan termasuk tiga kanak-kanak dan dua warga Myanmar.

“Kesemua mereka dipercayai menyewa rumah tersebut secara berkumpulan dan bekerja di sekitar ibu negara,” jelasnya.

Jelas Hamidi, semua yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 6 (1)(c) kerana tidak memiliki dokumen memasuki negara ini secara sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×