BUTTERWORTH 31 Jan. – Polis berjaya menemui semula 15 buah motosikal curi bernilai RM60,000 selepas ahli kumpulan Geng x5 Puri yang terlibat dalam kegiatan curi motosikal ditahan dalam serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Utara pada Selasa lalu.
Tiga ahli kumpulan berkenaan yang berusia 17 hingga 23 tahun itu dan disyaki terlibat dalam 26 kes curi motosikal berjaya ditahan kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ahli kumpulan berkenaan ditahan selepas pihaknya menerima aduan berhubung kehilangan sebuah motosikal di Flat Taman Cantik di sini, minggu lalu.
“Hasil kepantasan Pasukan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, suspek berjaya ditahan seminggu selepas laporan berhubung kehilangan motosikal jenis Honda EX5 diterima.
“Hasil soal siasat mendapati suspek turut mengaku terlibat dalam 26 kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini, Bukit Mertajam serta Lunas, Kedah dan kita menemui semula 15 buah motosikal termasuklah beberapa sudah dileraikan bernilai kira-kira RM60,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut Noorzainy kejayaan polis menumpaskan kumpulan Geng x5 Puri itu merupakan susulan penahanan tiga lelaki yang terlibat dalam kegiatan pecah masuk restoran dikenali sebagai Geng SYM Jajar kira-kira empat hari sebelum itu.
“Mereka yang berusia 16 dan 17 tahun itu serta merupakan rakan penjenayah (Geng X5 Puri).
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang positif dadah itu mengaku terlibat dalam lapan kes pecah restoran termasuk kerusi mesin urut di sekitar daerah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











