Suspek curi kenderaan rempuh anggota polis dalam usaha melarikan diri - Utusan Malaysia

Suspek curi kenderaan rempuh anggota polis dalam usaha melarikan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Sebanyak tiga das tembakan terpaksa dilepaskan oleh anggota polis dalam satu adegan kejar mengejar yang berlaku berhampiran sebuah flat Taman Bukit Angsana, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, dalam kejadian sekitar pukul 7.15 pagi itu, pihaknya telah menerima maklumat berhubung satu kejadian kecurian kenderaan bersabit laporan di Pandan Indah melibatkan sebuah kereta jenis Proton Perdana V6 berwarna hitam. 

“Susulan itu, sepasukan anggota yang terdiri daripada tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) bersama anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah dikejarkan ke lokasi dan cuba menahan seorang lelaki yang memandu kenderaan terbabit.

“Sewaktu insiden kejar mengejar berlaku, suspek yang berusia 31 tahun telah bertindak melanggar motosikal ditunggang seorang anggota URB Batu 9 Cheras sehingga menyebabkan anggota terbabit cedera pada kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Ahmad Dzaffir, ketika kejadian anggota MPV turut melepaskan tiga das tembakan untuk mempertahankan diri sebelum suspek berkenaan berjaya ditahan.

“Suspek turut melanggar beberapa kenderaan orang awam dan sebuah kedai di lokasi kejadian hingga menyebabkan kereta dinaikinya terbalik.

“Semakan rekod yang dilakukan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk masih berada dalam senarai individu dikehendaki pihak polis,” jelas beliau.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek akan direman bagi membantu siasatan bersabit kes cubaan bunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan kes kecurian kenderaan serta pecah rumah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Saksi boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Zazali Kenek di talian 019-7100662,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×