Menyorok bawah kontena kabin elak ditangkap polis - Utusan Malaysia

Menyorok bawah kontena kabin elak ditangkap polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 31 Jan. – Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah menyorok di bawah kontena kabin hampir 35 minit sebelum berjaya dibawa keluar anggota polis serta bomba dan penyelamat di Taman MITC Prima, Hang Tuah Jaya di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai terlebih dahulu terlibat dalam pergaduhan dengan bekas teman wanitanya di sebuah tadika yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kabin itu.

Difahamkan, bekas teman wanita suspek yang berusia 28 tahun kemudian segera menghubungi polis menyebabkan suspek segera melarikan diri dan bersembunyi di bawah sebuah kontena kabin.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Zul Akhman Othman berkata, sepasukan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu.

“Sebaik sahaja tiba kami mendapati seorang lelaki sedang menyorok di bawah kabin itu yang agak sempit dan hanya mempunyai ruang setinggi 7 sentimeter.

“Dengan bantuan tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), pihak kami berusaha memujuk dan berjaya membawa lelaki itu keluar kira-kira pukul 1.10 petang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dipercayai lelaki itu bertindak demikian kerana berada di bawah pengaruh dadah berikutan hasil ujian air kencing mendapati dia positif mengambil syabu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×