Bekas jurulatih terjun bebas tuduhan rogol atlet - Utusan Malaysia

Bekas jurulatih terjun bebas tuduhan rogol atlet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Seorang bekas jurulatih pasukan terjun kebangsaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan merogol atlet wanita sukan tersebut, dua tahun lalu.

Hakim Noradura Hamzah memutuskan demikian terhadap Huang Qiang, 37, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya mewujudkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang diwakili peguam, Mohd. Hisham Md. Nen di­dakwa merogol mangsa yang berusia 20 tahun satu bulan ketika kejadian di dalam Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini pada pukul 5.30 petang, 26 September 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia yang telah mendapat taraf warganegara Malaysia itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Seramai dua saksi pembelaan termasuk tertuduh dan seorang jurulatih sukan dipanggil untuk memberi keterangan sejak Disember tahun lalu.

Pada 9 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Huang Qiang tanpa memanggilnya untuk membela diri daripada pertuduhan merogol atlet wanita berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober tahun lalu memerintahkan

Huang Qiang untuk membela diri selepas mendapati hakim Mahkamah Sesyen di sini telah terkhilaf dalam membuat keputusan melepas dan membebaskan perayu pada 9 April lalu. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×