KOTA BHARU – Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sebilah pisau ‘Rambo’ tahun lalu.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Mohd. Zawari Mustaffa, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut mengarahkan hukuman tersebut berjalan bermula tarikh tangkapan iaitu 24 Julai 2018.
Buruh itu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau Rambo berukuran 38 sentimeter berhulu hitam tanpa maksud yang sah dan kebenaran pihak berkuasa.
Dia melakukan kesalahan itu di kawasan tanah perkuburan Kampung Pauh Lima, Melor di sini kira-kira pukul 12.45 tengah hari pada 24 Julai 2018.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman penjara bermula tarikh tangkap kerana mengaku telah insaf dan berhasrat tidak mengulanginya lagi.
Ahmad Bazli kemudian membenarkan permohonan tersebut dan tertuduh bakal menjalani hukuman penjara di Penjara Pengkalan Chepa di sini. – K! ONLINE











