JOHOR BAHRU 31 Jan. – UMNO perlu menerima dan mengadaptasi Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 kerana merupakan peluang terbaik untuk mengubah tanggapan dan memperbetul persespi umum terhadap amalan parti itu selama ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, UMNO sebagai sebuah parti politik paling lama dan besar dalam negara perlu menerima pelan itu dengan matang, jujur dan secara terbuka.
“UMNO perlu berjiwa besar untuk menerima seterusnya meneliti setiap cadangan serta langkah penambahbaikan yang dikemukakan dalam pelan itu khususnya melibatkan sektor politik.
“Peluang itu juga wajar dimanfaatkan parti untuk seterusnya meyakinkan rakyat bahawa UMNO kini dalam proses untuk berubah dan akan kembali tampil dengan wajah baru melalui penekanan kepada soal nilai, etika dan integriti sebagai naratif utama yang mendasari parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Justeru, tambahnya, Pemuda UMNO Pasir Gudang mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa kerja di peringkat pusat dan negeri ditubuhkan untuk mengadaptasi saranan-saranan yang terkandung dalam NACP.
Beliau berkata, pelan itu juga wajar diambil kira dan dijadikan sebahagian daripada input kepada proses pindaan Perlembagaan UMNO di mana
Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan parti dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – UTUSAN ONLINE











