MILAN 31 Jan.- Federico Chiesa meledak hatrik ketika Fiorentina menundukkan Roma 7-1 untuk melangkah ke separuh akhir Coppa Italia, awal pagi tadi.
Chiesa meledak dua jaringan pada awal permainan sebelum melengkapkan hatrik pada separuh masa kedua selepas berjaya mengatasi penjaga gawang Robin Olsen manaka Giovanni Simeone menambah dua jaringan pada 10 minit terakhir permainan.
Luis Muriel dan Marco Benassi turut meletakkan nama selaku penjaring ketika menentang Roma.
“Saya sangat kecewa tetapi saya tidak akan tinggalkan pasukan ini.
“Memang saya kecewa dengan pasukan ini dan tiada alasan untuk kekalahan seperti ini.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku, permainan kami serba tidak menjadi dan ini sangat memalukan,” kata pengendali Roma, Eusebio Di Francesco
Pasukan kendalian Di Francesco cuba bangkit daripada aksi awal musim mengecewakan dengan empat kemenangan berturut-turut dan kini berada di kedudukan kelima Serie A.
“Saya tidak tahu yang boleh diperkatakan. Setiap kali kami rasa sudah bersedia, kami masih berdepan dengan masalah sama,” kata Di Francesco.-AGENSI











