BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 31 JANUARI 2019 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 31 JANUARI 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG sebenarnya sudah lama tahu bahawa rakyat semakin muak dengan apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan ketika ini. Sudahlah banyak janji ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak ditunaikan, ia diburukkan lagi dengan perbezaan pandangan antara menteri berhubung sesuatu isu.

Oleh itu Awang amat bersetuju dan menyokong penuh kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana ia boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Sebagai seorang yang pernah berada dalam Kabinet dan pakar ekonomi, sudah pasti Daim adalah individu paling layak membuat teguran tersebut kerana beliau memahami kesannya kepada kerajaan jika ia berterusan.

Awang akui ada dalam kalangan menteri yang cemerlang dalam tugas mereka tetapi ada pula yang dilihat seolah-olah masih teraba-raba bagaimana mahu bekerja dan ada pula merasakan dia sahaja yang betul.

Apa yang merisaukan rakyat ialah pertelagahan dan perbezaan pendapat yang cukup ketara antara menteri bukan sahaja boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan tetapi juga imej negara.

Justeru Awang berharap, semua anggota Kabinet terimalah nasihat Daim yang sudah pasti dizahirkan demi untuk kebaikan kerajaan secara keseluruhan. Sikap Daim harus dipuji kerana beliau menyatakan apa yang benar dan paling penting apa yang dirasai oleh rakyat sekarang.

Awang – Dengar rintihan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×