KRISIS kemanusiaan yang tidak berkesudahan di Yemen mengakibatkan kira-kira 1.9 juta rakyatnya kini menjadi pelarian di negara sendiri.
Dalam keadaan cuaca dan persekitaran tidak menentu, pelarian tersebut amat memerlukan bantuan terutama bekalan air bersih dan makanan bagi memastikan urusan kehidupan seharian mereka berjalan lancar.
Antara kem pelarian yang berdepan dengan masalah itu adalah kem Mil terletak kira-kira 14 kilometer dari bandar Marib yang setakat ini dihuni 80 keluarga.
Kesemua keluarga itu melarikan diri dari bandar Sanaa ke Marib selepas pasukan militan Houthi menguasai ibu negara tersebut.
Prihatin dengan kesengsaraan dan penderitaan yang ditanggung rakyat Yemen, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengambil inisiatif berkunjung ke bumi anbia itu bagi membawa bantuan kemanusiaan.
Ketika pasukan MyCare mengadakan lawatan ke kem Mil, 80 keluarga pelarian itu terpaksa berkongsi bekalan air bersih yang hanya mampu bertahan selama tiga hari.
Situasi itu disaksikan sendiri Pengurus Projek MyCare, Noorsyazly Rameli ketika mengetuai Misi Kecemasan Yemen 2019 selama 10 hari bermula 14 Januari lalu.
Katanya, keadaan pelarian juga tidak terurus, pakaian kanak-kanak kotor dan comot akibat tidak mandi berikutan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.
Malah tambahnya, situasi tersebut menjadi bertambah buruk kerana kawasan berkenaan sering dilanda ribut pasir serta angin berdebu.
“Bekalan air bersih untuk minuman pun payah, apatah lagi untuk kebersihan diri,” katanya ketika ditemui di pejabat MyCare, Seri Kembangan, baru-baru ini.
TERPAKSA MENGEMIS
Noorsyazly berkata, kebanyakan pelarian tersebut tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan ada kalangan mereka terpaksa mengemis demi kelangsungan hidup.
“Ada antara mereka mengemis untuk beri keluarga makan dan jika ada yang bekerja hanya sebagai buruh atau petani dengan pendapatan sehari hanya 600 rial (RM9.80),” katanya.
Selain itu, antara aspek menjadi kebimbangan utama pasukan MyCare adalah nasib kanak-kanak yang berisiko mengalami kebuluran ekoran peperangan berterusan di negara itu.
“Gangguan bekalan makanan boleh menyebabkan risiko kebuluran pada skala tidak pernah berlaku sebelum ini khususnya kalangan kanak-kanak yang tidak tahu bila atau apakah mereka akan mendapat makanan selepas ini,” ujarnya.
Menyentuh misi pertama itu, beliau berkata, MyCare menyerahkan bantuan sebanyak 500 pek makanan dan lima lori bekalan air bersih yang membawa jumlah perbelanjaan keseluruhannya bernilai RM100,000.
“Pek makanan ini kami serahkan di beberapa khemah pelarian di sekitar bandar Marib, Mutoon Al-Jawaf, Amran serta penempatan-penempatan kecil berdekatan.
“Seramai 500 keluarga telah menerima bantuan pek makanan mengandungi tepung 25 kilogram, beras 10 kilogram, gula 10 kilogram, pes tomato 70 pek, kacang fasolia 12 tin dan minyak 1.8 liter,” katanya.
Sehubungan itu, sokongan dan bantuan dana orang ramai amat diperlukan dengan menyalurkan melalui laman web http://www.billplz.com/kecemasanyaman.











