LONDON – Beribu-ribu penduduk Britain berisiko meninggal dunia akibat serangan jantung dan strok dalam tempoh satu dekad selepas London keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) akibat kenaikan tinggi harga buah dan sayuran import, demikian menurut satu kajian baharu semalam.
Negara itu dijangka meninggalkan blok EU pada 29 Mac ini.
Britain banyak bergantung pada import makanan terutamanya buah dan sayuran. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Open itu meramalkan pengurangan besar dalam pengambilan makanan tersebut selepas Brexit kerana harganya menjadi lebih mahal.
Senario itu diramal semakin buruk sekiranya Britain meninggalkan EU tanpa menandatangani sebarang perjanjian melibatkan perdagangan.
Dalam kajian mereka, pasukan saintis daripada Kolej Imperial London itu meramalkan sehingga 12,400 kematian tambahan akibat sakit jantung dan strok akan berlaku di England dalam tempoh 10 tahun selepas Brexit.
“Di bawah peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia, harga buah-buahan seperti pisang dijangka meningkat 17 peratus dan buah oren 14 peratus,” kata penulis utama kajian itu, Christopher Millet.
“Kami menjangkakan sebanyak 12,400 kematian tambahan antara tahun 2021 hingga 2030 akibat serangan jantung dan strok sekiranya Britain meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian,” tambahnya.
Kira-kira 42,000 orang meninggal dunia pada setiap tahun di Britain akibat masalah jantung.
Buah-buahan dan sayuran mengandungi nutrien penting seperti serat, vitamin, mineral dan agen antioksida bagi membantu mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular. –AFP











