Polis tumpu 25 lokasi kerap berlaku nahas - Utusan Malaysia

Polis tumpu 25 lokasi kerap berlaku nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 29 Jan. – Polis Kontinjen Terengganu akan mempertingkatkan rondaan di 25 lokasi yang dikenalpasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri ini sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Rondaan selama dua minggu yang dinamakan Ops Selamat 14/19 akan membabitkan seramai 34 pegawai dan 203 anggota bermula hari ini hingga 12 Februari depan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Terengganu, Superintenden Abd. Razak Hasan memberitahu, lokasi yang bakal diberi tumpuan ialah melibatkan 15 jalan persekutuan, lima jalan negeri dan tiga di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, antara jalan persekutuan yang kerap berlaku kemalangan ialah di KM 2 jalan Tengku Mizan di Jambatan Sultan Mahmud, KM10 dan KM32 di jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu di Kampung Batu Enam, Pakoh Jaya dan Belara (daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus).

Bagi daerah Besut ujar beliau, lokasi yang dikenalpasti ialah di KM90 jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Anak Ikan dan KM112-KM114 di Tok Dor dan Bukit Payong.

“Bagi daerah Dungun, kawasan terbabit ialah di KM72 jalan Kuala Terengganu- Kuantan di Pulau Serai dan KM87 di Bukit Bauk dan KM100 dii Paka.

“Daerah Kemaman pula ialah di KM114-KM124, Kertih dan Kemasik, KM150-160 jalan Jerangau- Jabor, Cheneh dan KM310-KM320 LPT, Kijal,” katànya kepada pemberita ketika ditemui sempena hari pertama Ops Selamat 14/19 di Kelulut, di sini petang ini.

Menurut Abd. Razak, bagi daerah Marang kawasan yang diberi tumpuan ialah di KM23 jalan Kuala Terengganu- Kuantan di Kampung Rhu Muda, KM33-KM36 di Alur Tuman, Pulau Kerengga, Serating dan KM42-KM50 di Merchang.

Beliau berkata, sepanjang operasi diadakan, tumpuan utama ialah melibatkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta pencegahan jenayah dengan harapan untuk mengurangkan kadar kemalangan, khususnya kemalangan maut.

“Memandangkan Terengganu merupakan kawasan tumpuan pelancong, kita menjangkakan sebanyak 150,000 kenderaan bakal berada di atas jalan raya sepanjang tempoh musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini berbanding 126,000 pada tahun lalu.

Katanya, enam penguatkuasaan ditekankan ialah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, mengguna telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, mengguna lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

“Oleh itu kesemua 203 anggota kita akan dibekukan cuti bagi nembuat rondaan bermotosikal di kawasan terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×