TEBING BARAT 29 Jan. – Rancangan Zionis untuk mengusir pemerhati awam antarabangsa sementara Hebron (TIPH) di Hebron dekat sini dianggap sebagai satu pengabaian ke atas perjanjian yang dibuat di bawah naungan antarabangsa.
Nabil Abu Rudeineh, jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata, keputusan itu bermaksud mereka telah melanggar perjanjian dibuat antara rejim itu bersama kerajaan Palestin serta lima negara lain.
“Mereka seperti melepas tangan daripada memikul tanggungjawab yang mereka persetujui ketika perjanjian dibuat,” katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menuduh TIPH sebagai anti kepada aktiviti-aktiviti Israel lantas merancang untuk mengusir badan pemerhati tersebut.
“Gerakan antarabangsa yang menentang kami tidak akan dibenarkan terus berada di sini,” katanya yang turut memutuskan untuk tidak memperbaharui mandat TIPH.
Netanyahu bagaimanapun tidak menjelaskan tentang salah laku TIPH yang membawa kepada keputusan itu dibuat.
PENUBUHAN TIPH
TIPH ditubuhkan selepas penduduk Yahudi di penempatan haram didakwa membunuh 29 penduduk Palestin di Hebron pada 1994.
Sejak Israel keluar dari Hebron pada 1998 di bawah perjanjian damai sementara dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA), TIPH telah menjalankan peranan ‘memerhatikan dan melaporkan mengenai pelanggaran perjanjian dan pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia’.
Kebanyakan kuasa dunia menganggap penempatan Yahudi di Tebing Barat sebagai ‘penempatan haram’.
Israel bagaimanapun mempertikaikan perkara itu.
ISRAEL AKAN DIHAPUSKAN
Sementara itu Press TV melaporkan, Pegawai Kedua Tertinggi Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Brigedier Jeneral Hossein Salami memberi amaran Israel akan dihapuskan dan semua wilayah jajahan haramnya di Palestin akan dirampas jika rejim tersebut memulakan perang baharu.
“Jika Israel membuat langkah ke arah memulakan perang, perang tersebut akan berakhir dengan kemusnahan mereka dan rampasan semula wilayah jajahan mereka,” katanya.
Kenyataan balas itu dibuat selepas Netanyahu memberi amaran Iran akan menerima padah jika melakukan sebarang ancaman terhadap Tel Aviv.
Terdahulu, Hossein menegaskan, Iran ketika ini sedang ‘berperang’ dengan kuasa besar yang ‘menunjukkan minat’ untuk ‘menghancurkan’ Teheran.
Merujuk kepada Amerika Syarikat (AS), sekutu kuat rejim Zionis, beliau berkata, AS sebenarnya telah mengalami kekalahan walaupun mengeluarkan perbelanjaan besar dalam politik dan ketenteraan.
“Musuh telah kehilangan kuasa ekonomi dan politik, itulah Amerika, yang bergerak ke arah kehancuran,” katanya.
NETANYAHU BERDEPAN DAKWAAN?
Dalam perkembangan berlainan, bekas Ketua Polis Israel, Roni Alsheich menegaskan Netanyahu kini berdepan siri ‘tekanan perasaan’ yang teruk apabila bakal berdepan tiga pertuduhan melibatkan rasuah.
Alsheich juga memaklumkan, dirinya menjadi ‘subjek ancaman’ sepanjang siasatan terhadap kes berkenaan.
“Malah polis sendiri telah membuat kenyataan mengenai perkara itu dengan mengesyorkan dakwaan terhadap Netanyahu,” jelasnya.
Sebelum ini, Likud, parti pimpinan Netanyahu, menyangkal dakwaan Alsheich yang dikatakan mengulangi penipuan.
Likud turut menuduh Alsheich ‘terikut-ikut’ dengan tekanan pembangkang untuk mengheret Netanyahu ke mahkamah.











