PEKAN – Seorang lelaki Orang Asli maut dihempap kayu balak ketika kejadian di pusat pengumpulan balak Matau, Sri Makmur di sini pukul 10 pagi tadi.
Dalam insiden itu, Azaharin Angir, 40, yang bekerja sebagai pemandu jentera pengangkut balak telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, mangsa dihempap selepas terjatuh daripada jentera semasa membuka rantai besi pengikat kayu balak.
“Mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat. Keputusan bedah siasat mendapati kematian disebabkan patah tulang melibatkan pelbagai anggota badan.
“Siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah berhubung kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata beliau menerusi kenyataan kepada pemberita di sini hari ini. – K! ONLINE









