LONDON 28 Jan. – Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino sentiasa mengingatkan bahawa keutamaan pasukannya adalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara selepas terkandas di pusingan keempat Piala FA.
Jelasnya, tewas 0-2 kepada Crystal Palace bukanlah satu kejutan, dan Spurs berharap untuk memasuki stadium bernilai 1 bilion pound (RM5.4 bilion) yang baharu dengan kehadiran pasukan elit Eropah sebagai usaha menarik minat penonton untuk hadir mengisi 62,00 tempat duduk.
Mereka ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool menjelang perlawanan menentang Watford di laman sendiri Rabu ini, namun apa yang penting, mereka memiliki tujuh mata mengatasi tempat kelima Arsenal dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara.
Selain itu, mereka juga berdepan ujian getir apabila dijadualkan bertemu pendahulu Bundesliga Borussia Dortmund dalam peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara dengan ketiadaan gandingan England Harry Kane dan Dele Alli sehingga Mac ini.
Terdapat banyak faktor menyebabkan Spurs gagal merangkul trofi sejak Piala Liga 2008, namun Pochettino berkata, ia akan menjadi satu kesilapan untuk memberi tumpuan semata-mata untuk mengejar Piala FA.
“Penyokong berharap kami memenangi sebarnag trofi. Namun kami perlu realistik, kami telah melakukan yang terbaik. Untuk memenangi gelaran di England seperti Piala FA dan Piala Carabao adalah bonus, ia tidak menggambarkan kualiti sepenuhnya yang dimiliki skuad.
“Secara realitinya, apa yang penting adalah sentiasa konsisten di dalam kelompok empat teratas dan bermain dalam kempen Liga Juara-Juara. Itu yang akan membatu kelab ini untuk mencapai langkah terakhir,” ujar Pochettino.- REUTERS










