KUALA LUMPUR –Malaysia Halal Expo 2019 (MHE 2019) melabuhkan tirainya Sabtu lalu dengan hasil jualan bernilai RM135 juta selain 223 sesi padanan perniagaan sepanjang tempoh tiga hari acara itu berlangsung.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, jualan yang dicatatkan adalah lebih sekali ganda berbanding sasaran asal yang ditetapkan kementerian iaitu sebanyak RM50 juta.
“Ketika kami merancang untuk menganjurkan acara ini kami hanya menjangkakan seramai 10,000 orang pengunjung dan jualan melebihi RM50 juta, ia sangat mengejutkan apabila kami berjaya menjana jualan hampir tiga kali melebihi sasaran awal.
“Ia petunjuk bahawa ramai menyedari betapa besarnya pasaran ini. Saya boleh katakan ini merupakan kejayaan terbaik dan kami sedang membuat perancangan serta memberikan idea kepada kerajaan untuk memperluaskan apa yang telah dilakukan,” katanya pada sidang akbar sempena majlis penutup MHE 2019 di sini kelmarin.
Menurut Mohd. Redzuan, pihaknya berhasrat meneruskan acara tersebut tahun depan selain menyertai World Expo 2025 di Osaka, Jepun.
“Kami juga berharap untuk pergi ke zon timur Eropah atau zon barat Rusia bagi meneroka pasaran di sana sekiranya mendapat kelulusan,” katanya.
MHE 2019 turut menyaksikan satu memorandum perjanjian (MoA) dimuktamadkan antara sebuah syarikat Jepun, Nanyang Trading dengan dua perusahaan kecil dan sederhana Malaysia, Nuha Food Sdn. Bhd. dan Kit Hin Company Sdn. Bhd. untuk membekalkan produk halal di pasaran Jepun dalam perjanjian jangka masa panjang.
Acara tersebut mencatatkan kehadiran 10,184 pengunjung termasuk usahawan dan menyediakan peluang unik kepada perusahaan tempatan menghidupkan semula potensi perniagaan selain membuktikan keupayaan mereka dalam menyaingi permintaan daripada pasaran halal tempatan, serantau dan global.









