Apa syarat Pas kepada UMNO? - Utusan Malaysia

Apa syarat Pas kepada UMNO?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Jan. – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa menyifatkan Pas menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO tanpa asas yang jelas dan perjuangan Pas selama ini mungkin akan menjadi sia-sia akibat hubungan tersebut.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu, Pas masih belum menjelaskan kepada rakyat apakah syarat sebenar dikemukakan parti itu terhadap UMNO yang kemudiannya menjadi asas kepada kerjasama mereka.

Sedangkan tambah beliau, dalam beberapa kerjasama politik terdahulu, Pas sentiasa meletakkan syarat-syarat tertentu terhadap parti lain yang mahu bersama dengannya.

“Ketika masa S46 (Parti Melayu Semangat 46), syarat Pas ialah S46 kena menerima Islam sebagai addin (agama), masa kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) pula, DAP kena terima yang Pas boleh meneruskan dasar-dasarnya.

“Tetapi dalam kerjasama dengan UMNO, kita tidak pernah dengar apa-apa dasar atau satu asas dikemukakan Pas sebagai syarat kepada kerjasama tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), di sini malam tadi.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, kerjasama Pas dengan UMNO berjaya membantu Barisan Nasional (BN) menewaskan PH dan dua calon Bebas sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti lebih besar.

Husam dalam pada itu berkata, dalam konteks kerjasama Pas dengan UMNO, beliau berharap Pas tidak akan menjadi seperti seekor kerbau yang menyelamatkan seekor buaya yang tersepit, namun akhirnya dimakan buaya tersebut.

“Pada pendapat saya, kerjasama seperti ini walaupun nampak ada kejayaan sebentar tetapi dasar perjuangan Pas yang akhirnya akan disia-siakan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui gembira melihat kerjasama dua parti berkenaan tidak lagi rahsia, sebaliknya dibuat secara terbuka sekali gus membersihkan namanya yang pernah dituduh menabur fitnah kononnya wujud kerjasama Pas dan UMNO

“Saya dipecat parti pun kerana mendakwa adanya hubungan tersebut, tetapi hari ini hubungan Pas dan UMNO sudah menjadi rahsia terbuka.

“Malah kita sudah melihat video dikongsikan ahli Pas tegar bagaimana mereka bergembira dapat mengundi dacing. Jadi apa yang saya sebut selama ini adalah benar dan hari ini dia menjadi realiti,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keputusan PRK Cameron Highlands menunjukkan wujud sentimen perkauman yang menyaksikan pemimpin keturunan India ditolak orang Melayu dan kerajaan PH gagal menangani perkara tersebut dengan baik.

“Apa yang terjadi di Cameron Highlands adalah gambaran jika PH tidak mewujudkan satu mekanisme berkesan di negeri yang dikuasai pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis, maka hasilnya akan mengecewakan PH,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×