KOTA BHARU 26 Jan. – Bekas pengendali Balestier Khalsa FC, Marko Kraljevic mendedahkan ‘kegilaan’ penyokong membuatkan dia mengambil risiko untuk melatih Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim ini.
Kraljevic berkata, dia cukup teruja apabila kepulangan semula ke negeri ini untuk menjadi pengendali The Red Warriors (TRW) selepas berkhidmat sebagai pemain selama empat musim bermula 1991 hingga 1994.
Menurutnya, kepulangan semula ke Kelantan selepas 25 tahun turut dipengaruhi oleh kenangan indah ketika beraksi dengan pasukan yang terkenal dengan gelaran skuad kijang.
“Kembali semula ke Kelantan sebagai jurulatih bukan sesuatu yang mudah buat saya kerana penyokong pastinya meletakkan harapan tinggi.
“Namun dengan sokongan padu penyokong, tidak mustahil buat saya untuk melakukan sesuatu yang positif bagi pasukan Kelantan musim ini,” katanya di sini hari ini.
Bekas penggempur Kelantan itu akan membentuk gandingan bersama Kamarudin Mohammad dibarisan kejurulatihan TRW.
Kemasukkan Kraljevic itu pastinya memberikan kelegaan buat Persatuan Bola Sepak Kelantan yang sebelum ini tercari-cari pengganti Yusri Che Lah.
Kraljevic yang pernah membentuk gandingan tajam bersama lagenda Kelantan Mohd. Hashim Mustapa menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Misi utama Kraljevic ke Kota Bharu ialah untuk mengembalikan semula TRW ke saingan Liga Super, musim 2020. – UTUSAN ONLINE











