PASIR MAS 27 Jan. – Kejayaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highland pada Pilihan Raya Kecil (PRK) memberi isyarat yang jelas bahawa majoriti Melayu dan Bumiputera sudah mula menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri Noor Hariri Mohamed Noor berkata, penolakan itu berkemungkinan disebabkan oleh kegagalan PH melaksanakan segala manifesto yang telah termaktub dalam Buku Jingga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Saya yakin dan percaya penolakan ini akan terus berlaku pada PRK Semenyih nanti kerana kepercayaan rakyat terhadap kerajaan PH semakin terhakis.
“Penolakan berpunca daripada sikap kerajaan PH yang sentiasa berbohong kepada rakyat membuatkan mereka mula meluat. Perkara ini diterjemahkan secara terang-terangan dengan menolak calon PH di Cameron Highland,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nor Hariri memberitahu, bukan itu sahaja gabungan dua parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan Pas menjadi titik polik kepada kemenangan calon BN.
Katanya, perkara itu turut dipacu oleh kerja keras jentera kedua-dua parti termasuklah pemuda dalam usaha menumbangkan calon PH.
“Saya harap kerjasama ini akan berterusan bagi memastikan kerajaan PH dapat ditumbangkan sekali lagi pada PRK Semenyih nanti,” ujarnya.
Pada PRK itu BN menerusi calonnya, Ramli Mohd. Nor menang dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi.
Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi calon BN, Datuk C. Sivarraajh dalam PRU-14 pada Mei lalu.
Ramli mendapat 12,038 undi menewaskan calon PH, M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi.
Dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib 314 undi manakala dan Wong Seng Yee 276 undi. – UTUSAN ONLINE










