KUALA NERUS 27 Jan. – Kerajaan Pas Terengganu meminta dua menteri Pakatan Harapan (PH) segera menyelesaikan percanggahan kenyataan berhubung kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindak-tanduk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam isu berkenaan hanya mengelirukan banyak pihak sedangkan adalah lebih baik jika perkara tersebut diselesaikan sesama mereka terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat.
“Saya difahamkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ada mengeluarkan kenyataan berhubung pembatalan kontrak pemaju ECRL namun Menteri Kewangan pula mengatakan tidak tahu mengenai hal itu.
“Masing-masing ada tugas yang perlu dibuat dan saya percaya komunikasi dalaman antara mereka sangat penting dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan jersi baharu pasukan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam tadi.
Ahmad Samsuri diminta mengulas kenyataan Mohamed Azmin iaitu kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan CCCC bagi projek ECRL yang digantung pada Julai 2018 pada mesyuarat Kabinet dua hari lalu.
Bagaimanapun kenyataan Timbalan Presiden PKR itu mengejutkan Guan Eng yang berpendapat Mohamed Azmin mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu mesyuarat Kabinet, Khamis lalu.
Sementara itu, Ahmad Samsuri menarik perhatian, projek memberi manfaat kepada rakyat seperti ECRL wajar dilihat dalam konteks positif dalam usaha memangkin ekonomi penduduk setempat di sepanjang laluan terlibat.
Katanya, dalam konteks Terengganu projek berkenaan mampu membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dan industri di negeri ini di samping menjadi mod pengangkutan penting bagi komoditi.
“Saya sedar kekangan bagi projek yang sangat positif ini adalah faktor kewangan, jadi di peringkat Persekutuan wajar untuk mempertimbangkan pelaksanaan ECRL dengan skala lebih kecil supaya objektif awal pembangunannya tercapai,” katanya. – UTUSAN ONLINE











