LIPIS 27 Jan. – Kemenangan Calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd. Nor yang berasal daripada masyarakat Orang Asli dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands disambut baik oleh masyarakat Melayu di Sungai Koyan.

Seorang penduduk, Khamis Maasai, 72, berkata, masyarakat Melayu menerima dengan sepenuh hati Ramli yang dilihat mampu membawa suara masyarakat akar umbi dan Islam.
“Kita tidak ada masalah dengan calon daripada orang Asli kerana sudah lama kita menunggu dan menantikan calon beragama Islam.
“Kita bukan sekadar menerima seratus peratus tetapi 101 peratus calon ini yang diyakini mampu membawa suara kita dan memberi perhatian kepada masyarakat Melayu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada PRK Cameron Highlands yang berakhir semalam, Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan polis daripada BN menang dengan majoriti 3,238 undi.
Ramli memperoleh 12,038 undi mendahului calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dengan 8,800 undi serta dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib (314) dan Wong Seng Yee (276). – UTUSAN ONLINE










