IPOH 26 Jan. – Tiada banyak perbezaan dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019 kerana The Bos Gaurus adalah juara Piala Malaysia 2018.
Itu kata Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mahukan pasukan Perak terus berusaha sebaik mungkin ketika beraksi di peringkat antarabangsa iaitu kelayakan Liga Juara-Juara Asia.
“Kita bawa mesej ‘Quit Smoking’ (Berhenti Merokok) dan ‘Save Water’ (Jimatkan Air), ini adalah pesanan kita kepada semua di peringkat Asia.
“Hari ini kita akan lihat mesej ini tertera di jersi pasukan kita. Saya harap kesemua ibu dan ayah di sini membeli jersi ini, pastikan anak kita pakai dengan bangganya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pasa majlis pelancaran kit pasukan Liga Super Perak musim 2019/2020 serta memperkenalkan pemain yang disertai dengan konsert artis tempatan secara gilang-gemilang di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.
The Bos Gaurus hanya menagih khidmat empat pemain import dengan mengekalkan Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva yang cemerlang beraksi pada musim lalu selain mengikat bekas pertahanan PKNS FC kelahiran Australia, Zac Anderson melalui kontrak selama setahun.
Pada majlis tersebut, dua jersi berwarna kuning dan hitam, masing-masing dipertontonkan kepada penyokong untuk digunakan ketika bermain di gelanggang sendiri dan lawan.
Ahmad Faizal berkata, selepas ini, satu lagi jersi eksklusif berwarna putih pula akan digunakan oleh The Bos Gaurus ketika beraksi pada Liga Juara-Juara Asia. – UTUSAN ONLINE










