MANCHESTER 26 Jan. – Pep Guardiola mendedahkan tentang punca Manchester City berhenti bersaing untuk mendapatkan pemain tengah Ajax, Frenkie De Jong sehingga memberi laluan mudah kepada Barcelona memenangi perebutan itu.
Kata pengendali dari Sepanyol itu, City bukan tidak mampu tetapi lebih kepada kebimbangan ia boleh merosakkan struktur gaji kelab, selain, mengecewakan pemain sedia ada jika De Jong menyertai mereka.
De Jong, 21, dibeli Barcelona dengan harga AS$97 juta (RM400j) dan dilaporkan bakal menerima gaji 300,000 pound (RM1.62 juta) seminggu apabila menyertai kelab Sepanyol itu, Julai ini.
Dengan jumlah gaji seumpama itu, De Jong yang baharu lima kali membuat penampilan bersama Belanda bakal menduduki tempat teratas dalam struktur gaji City, perkara yang tidak akan dibenarkan Guardiola berlaku ke atas pemain yang baharu memulakan kariernya.
“Kami cuba mengekalkan keharmonian tentang gaji di bilik persalinan. Apabila tiada keseimbangan (dari segi gaji), selalu akan timbul masalah dalam kalangan pemain di situ.
“Satu perkara yang bagus dibuat City ialah dengan mengekalkan keseimbangan itu. Realiti yang harus kita terima ialah bukan satu atau dua sahaja kelab sanggup membayar gaji yang tinggi.
“Banyak yang sanggup sedangkan sebelum spekulasi mula tersebar, hanya PSG dan City sahaja yang berusaha. Kini tidak lagi sebaliknya kelab dari Sepanyol dan Itali juga berupaya berbuat demikian,” katanya.
Disebabkan itu, tegas beliau, City akhirnya tidak mampu menyaingi tawaran yang dibuat Barcelona dan Real Madrid yang sanggup menawarkan harga dan gaji yang tinggi. – AFP











