Solskjaer yakin kebangkitan Sanchez - Utusan Malaysia

Solskjaer yakin kebangkitan Sanchez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 26 Jan – Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer optimis Alexis Sanchez mampu mendapatkan kembali persembahan terbaiknya selepas bintang antarabangsa Chile itu diturunkan dalam pusingan keempat Piala FA di Stadium Emirates yang menjadi igauan Arsenal.

Sanchez meledakkan gol pembukaan pada minit ke-31, yang merupakan aksi sulungnya berdepan dengan kelab lamanya selepas 12 bulan meninggalkan Gunners.

Sejak menyertai United, jarang sekali Sanchez mempamerkan aksi terpuji, tetapi pengurusnya, Solskjaer percaya jaringan yang diledakkan pe­nyerang tersebut mampu menghidupkan semula karier pemain itu di Old Trafford.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sanchez masih boleh me­ningkat dan dia tahu tentang itu. Tetapi bagi setiap pemain, semakin tinggi keyakinan anda, maka semakin bersemangat untuk anda terus bekerja keras dan yakin kepada diri sendiri.

“Dari segi persembahan, ini merupakan satu permulaan yang baik. Prestasi yang dipamerkan pasukan juga jauh lebih bagus berbanding sewaktu perlawanan menentang Tottenham ketika David (de Gea) menjadi penyelamat kami.

“Kami sedang berusaha un­tuk memantapkan lagi persembahan. Kami perlu terus me­ngekalkan rentak permainan, lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan utama,” kata Solskjaer.

Selain jaringan Sanchez, dua gol daripada Jesse Lingard (minit ke-33) dan Anthony Martial (minit ke-82) memastikan United meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya. Gol tunggal Arsenal disempurnakan oleh Pierre-Emerick Aubame­yang pada minit ke-43.

Sementara itu, kekalahan Arsenal mengusutkan lagi kepala pengurusnya, Unai Emery apabila kehilangan dua pertahanan Gunners, Laurent Koscielny dan Sokratis yang ditimpa kecede­raan rahang serta buku lali pada pertemuan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×