PUTRAJAYA 26 Jan. – Kementerian Pengangkutan memutuskan dasar serta cara pelaksanaan kelulusan pemasangan iklan pada badan kenderaan akan diteliti semula.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook semalam dan ketetapan baharu berhubung perkara berkenaan bakal diumumkan sebelum 31 Mac ini.
“Memandangkan terdapat permintaan daripada pihak industri dan syarikat yang memerlukan lebihan masa, pelaksanaan dasar yang dirancangkan terdahulu serta penguatkuasaan ditangguhkan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 6 April tahun lalu di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengedarkan Surat Pekeliling Bil. 4 Tahun 2018 berkenaan pemasangan iklan pada badan kenderaan.
Seterusnya pada Mei tahun lalu, JPJ telah memaklumkan kepada Puspakom untuk memastikan iklan-iklan yang dipasang pada badan kenderaan perlu memohon kelulusan daripada jabatan itu dan penguatkuasaan di Puspakom akan bermula pada 1 Januari 2019.
Bermula dari Jun tahun lalu, Puspakom telah membuat pemakluman kepada semua kenderaan yang terlibat dengan memasukkan dalam laporan Puspakom di bahagian ‘nota penting’ meminta kenderaan yang memasang iklan perlu mendapatkan kelulusan daripada JPJ termasuk memasang poster hebahan di premis-premis Puspakom. – UTUSAN ONLINE











