SHAH ALAM – Seramai 51 orang gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan selepas Jabatan Imigresen Selangor menyerbu enam buah pusat hiburan sekitar Bandar Kinrara, Puchong dekat sini semalam.
Serbuan oleh sepasukan 63 anggota dan pegawai itu bermula kira-kira pukul 11 malam dan berakhir empat jam kemudian.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan dan maklumat awam mengenai kebanjiran warga asing yang bekerja di premis-premis pusat hiburan di sekitar kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan kebanyakan GRO berkenaan sedang leka melayan pelanggan dan apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa mereka cuba melarikan diri dan bertindak menyorok di beberapa bahagian di dalam premis berkenaan.
“Bagaimanapun, tindakan tersebut sia-sia kerana anggota kita terlebih awal mengepung pusat-pusat hiburan terbabit.
“Secara kesuluruhannya, seramai 154 orang warga asing diperiksa di keenam-enam buah pusat hiburan itu dan daripada jumlah tersebut 54 orang ditahan iaitu terdiri daripada 51 orang wanita (GRO) dan tiga lelaki atas pelbagai kesalahan imigresen,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di sebuah kawasan perindustrian di Pelabuhan Klang, Mohamad Shukri berkata, pihaknya berjaya menahan 54 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menyerbu beberapa rumah kedai yang dijadikan asrama dan rumah sewa pekerja.
Menurutnya, ketika serbuan, kebanyakan penghuninya sedang nyenyak tidur dan mereka tidak sempat berbuat apa-apa termasuk melarikan diri.
Jelas beliau, secara keseluruhan serbuan di dua lokasi itu telah berjaya menahan 108 orang PATI selepas membuat pemeriksaan ke atas kira-kira 222 warga asing.
“Mereka terdiri daripada 52 orang lelaki dan 56 orang wanita melibatkan 46 warga Vietnam, Bangladesh (30), India (17), Indonesia (5), China (4), Myanmar (3), Nepal (2) dan seorang warga Kemboja.
Kesemua PATI yang berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor dan akan direman selama 14 hari di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tamat tempoh pas. – K! ONLINE











