KUALA LIPIS – Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoal tindakan calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran memakai baju berlogo parti dalam perkarangan pusat pengundian yang disifatkannya sebagai sengaja mencabar Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, tindakan bertentangan dengan akta SPR dibuat calon PH bersama jenteranya bermula sejak penamaan calon sehingga ke hari ini, berhubung perkara seperti pengedaran duit minyak, penggunaan kenderaan kerajaan, pemberian sumbangan dan bantuan secara terbuka serta ugutan terhadap tok batin.
“Lebih malang lagi calon (PH) itu ke tempat pengundian dengan logo (parti) sedangkan itu jelas dalam akta SPR tidak ada logo pun boleh berada dalam lingkungan 50 meter dari tempat pengundian dan dia berada dalam pusat pengundian.
“Ini jelas menunjukkan kerajaan PH hari ini tidak mempedulikan apa peraturan serta undang-undang dan buat apa mereka suka walaupun bantahan dan laporan polis dibuat BN sejak mula (kempen),” katanya ketika ditemui di luar perkarangan pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau di sini hari ini, yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor.
Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera turut mempersoal mana suara-suara dan kenyataan lantang daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih yang dahulunya sering mengkritik ketika pemerintahan kerajaan BN. – Bernama











