KUALA LUMPUR 26 Jan. – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi amaran supaya jangan sama sekali memanjakan orang ramai yang meminta supaya menyediakan lebih banyak tong sampah di kawasan masing-masing.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kehendak tersebut tidak perlu dilayan kerana bilangan tong sampah sedia ada di beberapa kawasan seperti di perumahan, taman dan tempat awam sudah mencukupi.
“Saya memang minta PBT-PBT jangan manjakan rakyat Malaysia yang minta tambahan tong sampah kepada mereka, alasan mereka tidak buang sampah dalam tong sampah kerana tiada tong sampah.
“Tidak, mereka kena belajar simpan dan bawa sampah di dalam poket atau beg tangan sehingga jumpa tong sampah. Biar mereka cari tong sampah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan Majlis Pelancaran 3R On Wheels dan Kad Mesra di sini hari ini.
Sementara itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, permintaan tersebut dipercayai menjadi sebab 60 peratus rakyat negara ini belum pandai membuang sampah dalam tong sampah.
Jelas beliau, pengurusan sampah itu juga masih belum menjadi tabiat masyarakat negara ini.
“Jadi budaya yang kita hendak angkat adalah bukan tong sampah cari orang tapi orang cari tong sampah, baharulah boleh dapat tabiat kesedaran pengurusan sampah yang betul,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata tarikh perbicaraan pertama kes inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan bermula pada 11 hingga 28 Februari ini sebelum disambung pada 2 hingga 8 Mac bagi perbicaraan kedua.
“Jadi sekarang nak sampai Februari tak lama lagi, kita sedang mengumpulkan beberapa perkara dan mendapatkan kelulusan kepada peguam-peguam yang dinamakan,” katanya.
18 Januari lalu, pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib didengar di Mahkamah Sesyen di sini.
Prosiding inkues itu akan dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner. – UTUSAN ONLINE.










