KUALA LUMPUR 26 Jan.-Kejadian beberapa papan tanda projek pembangunan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan tulisan ‘Harapan Baru Malaysia’ yang dinaikkan di perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands disifatkan sebagai sesuatu yang menghairankan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, beliau juga pelik bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku kerana arahan jelas diberikan bahawa tiada mekanisme dan jentera kerajaan digunakan untuk berkempen semasa pilihan raya.
“Saya telah meminta Jakoa untuk memberikan satu laporan kepada saya pada hari Isnin depan dan selepas meneliti laporan tersebut saya akan lihat apa yang boleh dibuat seterusnya.
“Kerajaan memang komited untuk tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen itu amat jelas. Jadi saya juga hairan bagaimana boleh jadi juga perkara ini lebih-lebih ia berlaku semalam iaitu sehari sebelum (hari pengundian),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelancaran Science Fair For Young Children (SFYC) 2019 di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan terdapat papan tanda berlogo Jakoa dan lambang “Harapan Baru Malaysia” itu didirikan di Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong, Lembah Bertam, Cameron Highlands.
Papan tanda tersebut menyatakan pembangunan itu membabitkan projek baik pulih rumah yang bertarikh 18 Januari hingga 17 Februari 2019.
Lanjutan daripada kejadian tersebut, Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Ajis Sitin berkata, pihaknya memohon maaf berhubung perkara tersebut dan akan memastikan bahawa perkara sedemikian tidak akan berulang.
Jelas Ajis, perkara tersebut merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan dan pihaknya telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada pihak kontraktor untuk menurunkan papan tanda berkenaan. – UTUSAN ONLINE.










